eBook Import Dari China

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1431H oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Khamis, 9hb September 2010:

Kerajaan Negeri akan berusaha untuk martabatkan rakyat Pulau Pinang dan orang Melayu memiliki daya dinamik, daya kepakaran dan daya usahawanan

Salam Hari Raya Aidil Fitri 1431H saya hulurkan kepada semua umat Islam di Malaysia serta selamat bercuti kepada semua warga Malaysia. Semoga 1 Syawal yang mulia ini dapat memberi berkat dan rahmat buat kita semua.

Sempena Syawal sebagai bulan suci bagi umat Islam untuk membersihkan diri dari segala gejala buruk, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf jika ada salah silap yang sememangnya tidak disengajakan.

Untuk itu, saya harap kita dapat bersama-sama kembali kepada sifat kemanusiaan yang jujur dan ikhlas dengan membuang sifat-sifat keji seperti perkauman dan keagamaan yang melampau. Bagi saya, agama membawa kebaikan insan dan bukannya pencetus kepada sikap benci-membenci. Kasih sayang antara jiran, antara sahabat, malah antara penyokong politik yang berbeza fahaman adalah penting kerana kita semua adalah sama dan setaraf sebagai manusia.

Sebarang perbezaan fahaman politik boleh dibincang atau dibahaskan, bukannya dibenci atau dihina; bukannya dikenakan tindakan undang-undang atau didiskriminasikan oleh mereka yang berkuasa.

Kata-kata perkauman yang meghina maruah dan harga diri warga Malaysia perlu dihentikan serta-merta. Tuduh-menuduh antara kaum dan agama tidak akan dapat merapatkan hubungan kita sebagai rakyat yang cintakan Malaysia.

Saya sedih kerana sepanjang bulan Ramadan yang mulia lalu, masih ada anasir-anasir yang sanggup mencemarkan kesucian bulan puasa dengan fitnah dan pembohongan perkauman dan agama di mana saya sendiri sekali lagi menjadi mangsanya. Sedih sungguh apabila kemurnian Ramadan dikotorkan oleh segelintir manusia yang gelap hati mereka.

Saya berharap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat yang telah berjanji untuk menangani masalah perkauman supaya benar-benar berani melaksanakan langkah-langkah tegas. Tidak boleh ada pilih kasih. Yang bersalah, sama ada dari kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban dan sebagainya atau pun dari kalangan penganut apa-apa agama, perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang atas prinsip keadilan.

Memerangi masalah perkauman dan amalan agama yang ekstrem bukan sekadar soal politik kepartian. Ia adalah isu nasional yang harus ditangani bersama oleh setiap warga yang prihatin kepada keadilan dan demokrasi.

Di negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri akan berusaha untuk martabatkan rakyat Pulau Pinang dan orang Melayu memiliki daya dinamik, daya kepakaran dan daya keusahawanan. Peruntukan untuk hal ehwal Islam telah bertambah daripada RM 12.5 juta pada 2008 kepada RM 24.3 juta pada 2010. Di antara langkah yang diambil oleh kerajaan negeri adalah:

a) mengadakan tender terbuka di mana kontraktor Melayu biasa menunjukkan kebolehan berdaya saing dengan kontraktor lain dengan kontraktor Melayu biasa memenangi kebanyakan tender. Jelas hanya kontraktor UMNO sahaja yang tidak dapat berdaya saing.

b) menubuhkan Majlis Sains Pulau Pinang yang menggalakkan pelajar pintar dan menubuhkan Penang Tech Center yang menonjolkan pencapaian industri di sini agar menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemeralangan sains dan teknologi; dan

c) memberikan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat, elaun dan duit raya kepada guru kafa dan mengiktiraf para huffaz;

d) menubuhkan Hab Pendidikan Pulau Pinang untuk menggalakkan universiti terkemuka dunia termasuk dalam Islam untuk mendirikan kampus cawangan;

e) memberikan bantuan mikro-kredit tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil dan mengurangkan bayaran lesen penjaja dan nelayan sebanyak 50%.

Semoga semangat Syawal akan membuka hati kita untuk menerima hakikat bahawa kita adalah warga yang bersaudara dalam satu negara yang sama-sama kita bina dan hidup bersama. Ikhlas dari saya, maaf zahir dan batin.

Sumber: *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang Baca Seterusnya...

Tembus kubu BN di Sarawak DAP menang, majoriti 398 undi walaupun SPR cuba menafikanya.......


DAP-PR berjaya membuat kejutan di PRK Sibu, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman rasmi bahawa kemenangan memihak kepada DAP dengan majoriti 398 undi. DAP-PR meraih 18,845 undi, mengatasi SUPP-BN yang memperolehi 18,447 undi. Calon bebas pula mencatat 232 undi, sementara terdapat 208 undi rosak, dan 190 undi yang tidak dikembalikan.
Daripada 110 peti undi biasa, calon DAP, Richard Wong Ho Leng memenangi 18,775 undi, di samping calon BN, Robert Lau Hui Yew memperolehi 16,124 undi. Calon bebas, Narawi Haron hanya mendapat 196 undi. Dengan kata lain, DAP mendahului dengan majoriti 2,651 untuk undi biasa.
Bagaimanapun, undi pos yang dikira dan diumumkan pada saat akhir jelas menyebelahi BN, dengan BN 2,323 undi, DAP 70 undi, calon bebas 36 undi, 208 undi rosak dan 190 undi yang tidak dikembalikan.

"Tipu! Tipu! Tipu!"

Pengumuman rasmi SPR yang ditundakan sehingga kira-kira jam 11 malam, mencungkil keraguan dan ketidakpuasan penyokong DAP-Pakatan Rakyat. Tiga jam sebelum ini, pemimpin dan penyokong PR berada dalam keresahan. Desas-desus dikhabarkan bahawa undi mungkin dikira semula, dan pemimpin DAP-PR khuatir bahawa undi pos akan menggagalkan kemenangan DAP.
Lebih-lebih lagi, kadar pengundian dikatakan lebih tinggi daripada yang diumumkan sebelum ini, iaitu 70% berbanding 59.86%. Keadaan ini mengundang kesangsian, lalu sekumpulan penduduk Sibu berhimpun di luar Dewan Suarah, melaungkan "Tipu! Tipu! Tipu!"
Biarpun hujan turun dengan lebat, penduduk Sibu ini sanggup menunggu di luar bangunan, menyuarakan apa yang terpendam dalam hati mereka, "Kami mahu perubahan!"

Kemungkinan menang

Lebih awal lagi, DAP-PR dikhabarkan memenangi PRK Sibu dengan 665 undi majoriti. Pemimpin Pakatan Rakyat telah mengumumkan kemenangan bagi pihak DAP, sementara pemimpin BN dilaporkan telah meninggalkan dewan.
Pada jam 8 malam, DAP-Pakatan Rakyat dilaporkan semakin hampir untuk mencipta keajaiban dalam PRK Sibu apabila secara tidak rasmi mendahului SUPP-BN dengan 3,944 undi majoriti, setelah 103 daripada 110 peti undi dikira. Sungguhpun demikian, DAP-PR tetap berhati-hati memandangkan undi pos yang mencecah 2,809 undi masih belum dikira.
Terdapat 54,695 orang pengundi mendaftar, termasuk 2,537 pengundi pos di kawasan pengundian Sibu. 36,389 orang (atau 66.7%) daripadanya adalah pengundi Cina, sementara Iban dan Melanau membawa jumlah 12,050 (22.1%), 5,740 (10.5%) orang Melayu, 54 orang India (0.01%) dan kaum yang lain, 289 orang (0.53%).
PRU ke-12 pada tahun 2008 menyaksikan pertandingan tiga penjuru, yang berakhir dengan kemenangan kepada Robert Lau Hoi Chew (19,138 undi), dengan majoriti 3,235 undi. Richard Wong Ho Leng dari DAP mendapat 15,903 undi dan Lim Chin Chuang dari PKR (812 undi). Kadar pengundian mencatat 67.77%, dengan 526 undi rosak.


Suasana pilihan raya

PRK yang ke-11 ini mencipta rekodnya, apabila ia mencatat kemenangan kelapan untuk PR selepas tsunami politik pada PRU ke-12. PRK Sibu merupakan ujian pertama kepada DAP secara khususnya selepas 8 Mac 2008, lantas memberi kemenangan yang menambah satu lagi kerusi untuk parti ini di Dewan Rakyat. Sebelum ini, PRK DUN Batang Ai, masih memihak kepada BN, membawa kesimpulan pada ketika itu bahawa Malaysia Timur tetap kubu BN.
Dengan kemenangan ini, PR akan bertahan pada 77 kerusi dalam parlimen.
PRK Sibu sebelum ini tidak "mengghairahkan" buat PR, khususnya selepas kekalahan PKR-PR di PRK Hulu Selangor yang berlangsung pada April lalu. Majoriti 3,235 undi pada PRU ke-12 menampakkan peluang yang tipis untuk DAP-PR.
Bagaimanapun, suasana PRK yang agak tenang sebelum ini, memacu pada kemuncaknya apabila perhimpunan DAP-PR di depan Hotel Paramount semalam berjaya menarik kehadiran kira-kira 15 ribu orang. Sungguhpun dibasahi hujan yang tidak kurang lebatnya, namun orang ramai tetap berada di situ untuk mengikuti ceramah politik pemimpin PR.

Sementara itu, aktiviti anjuran BN di Rejang Park kelihatan suram berbanding PR apabila hanya berjaya menarik kehadiran kira-kira seribu orang.
Antara isu yang dibangkitkan oleh PR termasuklah masalah tanah, kebanjiran, kemudahan infrastruktur yang serba kurang, dan isu penggunaan kalimah Islam. SUPP-BN pula, menyerang DAP dengan isu Negara Islam kerana kerjasamanya dengan PAS, pada masa yang sama menyeru agar pengundi mengenang budi bekas wakil rakyat, mendiang Robert Lau Hoi Chew.

Sumber: http://wargamarhaen.blogspot.com/

Baca Seterusnya...

Pengerusi DAP Sarawak calon Pakatan Rakyat di Sibu

SIBU: Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, Wong Ho Leng (gambar), diumumkan sebagai calon DAP untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Pengumuman rasmi calon DAP itu dilakukan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, pada majlis makan malam di Good Happiness Restaurant di sini, sebentar tadi. Baca Seterusnya...

Zunar kartunkan krisis politik Perak

Kartunis kontroversi, yang memimpin majalah Gedung Kartun yang dilarang diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), mengumumkan pengedaran karya terbarunya, satira politik semasa Perak Darul Kartun.

Bercakap satu sidang akhbar di pejabatnya hari ini, Zulkiflee Anwar Haque atau lebih popular dikenali Zunar, berkata karya terbaru ini diterbitkan dalam bentuk buku yang tidak memerlukan permit penerbitan daripada KDN.
Buku setebal 80 muka surat itu merupakan hasil usaha enam kartunis yang diketuainya.

Topik utamanya, karya kartun satira mengenai krisis politik di Perak sejak Februari lalu serta sumbangan beberapa penulis dan kartunis lain.

Mereka yang turut menyumbang antaranya Sasterawan Negera Datuk A Samad Said, penganalisis politik Dr Farish A Noor dan juga penulis kolum Malaysiakini Hishamuddin Rais.

Selain itu, buku ini juga mengutarakan karya kartun mengenai nostalgia era Reformasi tahun 1998.

Pada 25 Ogos lalu, sekumpulan pegawai penguatkuasa KDN menyerbu pejabat majalah Gedung Kartun di Brickfields, Kuala Lumpur susulan penerbitan edisi sulungnya yang menyindir keras perdana menteri.

KDN beberapa hari kemudian turut menyerbu syarikat percetakannya di Seri Kembangan, Serdang susulan penerbitannya yang, antaranya, memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/ Baca Seterusnya...